Apabila Allah menurunkan ujian, secara langsung mengingatkan kita kepada kekuasaan-Nya. Dia berkuasa menentukan segala yang diinginkan terhadap hamba-Nya. Segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada setiap orang boleh ditarik pada bila-bila masa dengan pelbagai cara. Musibah adalah peringatan bagi manusia agar bermuhasabah diri kerana ujian mendorong perasaan insaf dan memperbanyakkan istighfar supaya tidak terus dalam kelalaian duniawi.
Kita sebagai umat Islam perlulah sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Apa yang terjadi pasti tersimpan hikmah yang besar.Allah SWT akan memberi imbalan di akhirat kelak di atas setiap yang menimpa hambaNya di dunia, sekalipun hanya tertusuk duri. Mungkin musibah yang menimpa adalah merupakan kepada balasan atau kifarah ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Oleh itu, kita harus bersyukur kerana Allah SWT tidak menunda pembalasan dosa-dosa kita di akhirat kelak. Orang-orang yang dicintai oleh Allah SWT akan diberi musibah agar hatinya hancur, sehingga hidayah mudah meresap ke dalam hatinya.Hati yang keras ibarat batu tidak dapat ditembus oleh air, tetapi tanah yang lembut mudah menyerap air. Maka hati orang yang beriman akan lembut dengan musibah.
Sabda Rasulullah saw, "Apabila engkau melihat seseorang yang memperoleh kenikmatan dunia padahal dia sering melakukan kemaksiatan, maka ketahuilah bahawa itu adalah istidraj (Penundaan azab dari AllahSWT), seperti seseorang yang diberi seutas tali yang dengan tali itu dia dibiarkan menggantung dirinya sendiri".
Pengampunan dosa melalui musibah hanya jika kita menginsafi musibah itu, yakni menerima musibah dengan reda, sabar dan memohon keampunan kepada Allah. Allah suka mendengar pengharapan dan doa hamba-Nya. Mereka yang berasa keluh resah dan mempertikaikan musibah yang menimpa dirinya, maka tidak ada apa kebaikan diraih. Mereka itulah hamba yang benar-benar rugi di dunia dan akhirat. Ujian yang sepatutnya menaikkan darjat di sisi Allah tidak diduduki dengan baik.
Firman Allah yang bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: “Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali. Mereka itulah akan mendapat keberkatan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 156 dan 157)
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“ Semua yang menimpa orang Islam seperti keletihan, penyakit, kedukaan, kesedihan, kesakitan dan perkara yang tidak disukai, bahkan termasuk duri yang dipijaknya, melainkan sebagai gantinya Allah menghapuskan dosa-dosanya.”(HR.Bukhari)
“Sesiapa yang dikehendaki Allah memperolehi kebaikan, mesti lebih dahulu mengalami musibah.”
(HR. Bukhari)
No comments:
Post a Comment